Alhamdulillah, saya telah dipelawa sekali lagi untuk menyertai program ‘Brain Dissection Week’ anjuran Kelab Sains MCKK pada tahun ini.
Dalam ucapan ringkas yang saya berikan pada permulaan program semalam, saya telah merakamkan jutaan penghargaan kepada bekas guru Sains saya di MCKK dahulu, Allahyarhamah Cikgu Aznisham Abdul Ghafar, yang telah banyak berjasa dalam memupuk minat untuk mempelajari bidang Sains dalam diri saya.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda (maksudnya):
Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya, atau anak soleh yang mendoakan baginya.
(HR Muslim)
Saya mendoakan agar arwah cikgu (dan juga semua bekas guru-guru saya) dikurniakan ganjaran pahala setiap kali saya manfaatkan ilmu yang diajar suatu masa dahulu untuk merawat pesakit yang berada di hadapan saya.







Tujuan kami para fasilitator menganjurkan program BDW ini adalah untuk memberikan ‘exposure’ kepada adik-adik mengenai bidang neurosains. Untuk berjaya dalam bidang ini, tentunya memerlukan pengorbanan yang besar. Maka, kami kongsikan juga perjalanan menuntut ilmu kami di dalam dan luar negara supaya adik-adik tidak cepat putus asa ketika berhadapan dengan apa-apa cabaran.
Terima kasih kepada sahabat baik saya Dr Khairun Mispan dan isteri yang bertungkus-lumus membuat segala persiapan untuk program kali ini. Semoga kita semua dapat bertemu kembali dalam majlis ilmu seperti ini pada tahun-tahun yang hadapan, inshaAllah.
