Adab Perbahasan

Saya mula berkecimpung dalam arena bahas Bahasa Melayu semasa di Tingkatan 1. Hasrat asal untuk menjadi pemain ragbi tidak kesampaian kerana ibu tidak benarkan, jadi saya pun memilih untuk menyertai pasukan bahas. Alhamdulillah, rezeki saya banyak di situ, dapat jugalah mewakili sekolah lebih kurang 50 kali dalam pertandingan bahas. Penglibatan saya biasa sahaja, hanya di peringkat sekolah menengah, tidak lebih daripada itu. Mahu ke hadapan lagi pun tidak boleh kerana universiti tempat saya belajar tidak ada kelab bahas Bahasa Melayu (jangan kecam ya ‘netizen’!).

Tujuan saya menceritakan kisah sebagai pembahas adalah untuk berkongsi pengalaman paling penting yang saya pelajari sepanjang tempoh 4-5 tahun bergiat aktif dalam bidang tersebut.

Saya namakan prinsip ini ‘adaT perbahasan’, tetapi mungkin lebih elok kalau dibaca sebagai ‘adaB perbahasan’.

Saya bersyukur kerana telah dapat berkongsi arena bahas dengan ramai individu yang benar-benar hebat. Antara ‘musuh-musuh ketat’ saya dahulu adalah para pembahas daripada SEMESTI, SAINA, TKC, STAR, dan SMAP Kajang. Yang menariknya, ramai daripada mereka ini akhirnya menjadi sahabat baik saya. Ada yang sudah menjadi doktor pakar, ahli politik, jurutera, peguam, ahli perniagaan, tokoh korporat, selebriti Facebook dan sebagainya. Walaupun menjadi ‘musuh ketat’ dalam dewan bahas, tetapi hakikatnya saya tidak pernah membenci atau berdendam dengan mereka. Malah saya amat kagum dan gembira melihat masing-masing kini berjaya!

Dewasa ini saya bimbang melihat kecenderungan masyarakat untuk berlebih-lebihan apabila ada perbezaan pendapat. Sesiapa sahaja yang tidak sehaluan, secara automatik dilabel sebagai pengkhianat, berniat jahat, ‘macai’, kurang cerdik dan sebagainya. Seharusnya kita berhujah berlandaskan ilmu dan dengan penuh adab. Malangnya kita lebih gemar sindir-menyindir, atau memarahi, berbanding cuba memahami. Saya sendiri tidak terkecuali daripada berbuat sedemikian. Malah, kalau melihat komen-komen lama saya di Facebook atau Twitter, malu juga memikirkan ketidakmatangan diri ini. Tetapi saya tidak padam komen-komen tersebut, supaya menjadi peringatan buat diri sendiri bahawa saya juga tidak sempurna dan perlu berubah ke arah yang lebih baik.

Bagaimana untuk membuat anjakan paradigma ke arah yang lebih baik? Nasihat saya, sebagai permulaan, kurangkanlah penglibatan kita semua dalam persatuan ‘Bawang Rangers’. Fikir dahulu sebelum bercakap. Berikan komen dengan cara yang sopan. Tegas pada prinsip, tetapi berhujah dengan penuh hormat. Bersangka baik terhadap orang yang berbeza pendapat. Buang ego ketika berbahas. InshaAllah, kita semua tidak rugi apa-apa dengan berbuat sedemikian.

Oleh kerana masa mencemburui saya (ayat lazim ketika berbahas), izinkan saya mengakhiri hujah dengan mendoakan agar kita semua istiqamah dalam berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.

Wallahu a’lam. Salam Jumaat buat semua.